Kerajaan Persekutuan kini dilihat mengambil pendekatan lebih tersusun dan menyeluruh dalam mengurus cabaran ekonomi global berbanding pentadbiran terdahulu.
MTEN kini libatk Ketua Menteri & Menteri Besar
Memetik laporan daripada Berita Harian, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan koordinasi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri ketika ini dilaksanakan secara sistematik menerusi mesyuarat berkala yang melibatkan semua pihak berkaitan.
“Sekarang kerajaan setiap minggu mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan pada minggu lalu, mesyuarat membabitkan ketua menteri serta menteri besar di seluruh negara.
“Ini berbeza dengan pendekatan Muhyiddin dulu, buat mesyuarat COVID-19 tak pernah panggil semua pemimpin negeri, tetapi hari ini kita tunjuk sikap berbeza,” katanya.

PM dari awal minta rakyat siap sedia
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sebuah majlis rumah terbuka di Gurun Jaya.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan kerajaan tidak mengambil sikap sambil lewa dalam berdepan krisis semasa, malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi peringatan awal kepada rakyat mengenai tekanan ekonomi global.
“Sejak awal lagi Perdana Menteri sudah mengingatkan supaya rakyat bersedia dan sentiasa berwaspada, malah dalam pengumuman terbaru, perkara sama sekali lagi ditegaskan.
“Ada yang melihat keadaan seolah-olah ‘seperti biasa’, namun hakikatnya krisis ini sedang berlaku di seluruh dunia, termasuk negara jiran,” katanya.

Tambah beliau, keadaan yang dilihat stabil ketika ini adalah hasil pengurusan kewangan berdisiplin termasuk langkah penstrukturan subsidi, penjimatan perbelanjaan serta kawalan ketirisan.
“Disebabkan itu, rakyat rasa seolah-olah tiada apa yang berlaku kerana kerajaan masih mampu menampung kenaikan kos, khususnya membabitkan harga minyak.
“Namun, jika tekanan kos terus meningkat, kerajaan perlu bersikap realistik dengan melakukan penyesuaian dasar selaras perkembangan ekonomi semasa,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Noorazura Abdul Rahman)




