mdroji@bh.com.my
Kuching: Kerajaan MADANI kekal komited dalam membina ekosistem media yang kukuh, beretika dan berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, yang bakal menjadi pemangkin kepada sistem kawal selia kendiri bagi industri media.
Beliau turut menyentuh beberapa inisiatif terkini termasuk pengumuman Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Ia meliputi perlindungan sosial untuk wartawan sambilan melalui PERKESO dan KWSP i-Saraan serta diskaun tambang 50 peratus penerbangan AirAsia ke destinasi ASEAN untuk pengamal media.
“Inisiatif ini bukan hanya dasar, tetapi ikrar untuk menghormati kerja, integriti dan sumbangan media kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Makan Malam Persidangan Wartawan Sarawak (SMEC) sempena sambutan HAWANA 2025, di sini, malam ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut menyeru masyarakat mengiktiraf peranan pengamal media dalam pembangunan negara.
“Pengamal media bukan sekadar penonton, tetapi mereka adalah rakan strategik dalam pembangunan.
“Wartawan adalah mata yang menyaksikan kebenaran, telinga yang mendengar degupan hati negara dan pena yang membentuk kefahaman,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam era maklumat yang diancam penyelewengan, wartawan memainkan peranan penting sebagai penjaga integriti dan penegak kebenaran.
Menyentuh isu kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, teknologi itu kini sedang membentuk hampir semua aspek kehidupan termasuk kewartawanan.
“Namun persoalan utama sama ada masyarakat akan membentuk AI atau membiarkan AI membentuk mereka,” katanya.
Beliau turut menggesa media Sarawak untuk terus memainkan peranan dalam menyediakan laporan yang memberi kesan kepada rakyat, khususnya dalam konteks pembangunan negeri menuju status berpendapatan tinggi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
© New Straits Times Press (M) Bhd