fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kerajaan komited terus memperkasakan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta seluruh warga kerjanya, menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan usaha penambahbaikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, usaha yang bakal dilaksanakan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu, bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan bantuan kebajikan yang cekap dan mesra rakyat.
Beliau berkata, inisiatif dan usaha itu antara lain menstruktur semula JKM, termasuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan bantuan, penyelarasan perjawatan serta menambah baik pengagihan tugas.
“Kedua, pemberian elaun khas kepada warga kerja JKM yang berkhidmat di kawasan berisiko seperti institusi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Ketiga, penggubalan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial bagi memastikan kebajikan pekerja sosial terbela termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat supaya mereka diiktiraf mengikut kepakaran masing-masing,” katanya pada Majlis Apresiasi Ulang Tahun Ke-75 JKM, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid.
Terdahulu, ketika berucap, Rina berkata, kementeriannya sedang memperjuangkan lima inisiatif iaitu penstrukturan semula JKM yang bakal menyusun jabatan itu dan dapat memberi penyampaian perkhidmatan yang lebih luas; permohonan elaun khas untuk warga JKM; penggubalan rang undang-undang profesion kerja sosial; pemerkasaan penerima bantuan melalui pelaksanaan 1 Year Exit Programme dan bantuan tanpa tunai kepada penerima bantuan JKM dengan kerjasama strategik Bank Islam Malaysia Berhad.
Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan proaktif dan menyeluruh sejak awal lagi dengan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), KITAPRIHATIN, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi membantu rakyat terutama penerima bantuan JKM yang terkesan dengan penularan COVID-19.
Justeru, beliau berkata, inisiatif-inisiatif itu penting bagi memastikan supaya segala bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasaran untuk membantu rakyat dalam fasa pemulihan ekonomi negara.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dipengerusikannya pada 22 Februari lalu, turut membincangkan Hala Tuju Baharu Bantuan Sosial termasuk cadangan mewujudkan pangkalan data berpusat menyelaraskan semakan kelayakan serta rekod penerima bantuan bagi sebanyak 192 jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat merentasi pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, beliau berharap semua agensi terbabit dalam pemberian bantuan sosial dapat menyelaraskan mekanisme penyampaian bantuan supaya bantuan dapat segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berkata, semua inisiatif yang dirancang memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua agensi pelaksana termasuk warga kerja JKM yang sentiasa dekat di hati masyarakat.
“Kepada semua warga kerja JKM sekalian, saudara dan saudari perlu menjadi ejen penyampaian yang proaktif dan cekap dalam kalangan masyarakat.
“Misalnya apabila sesuatu pengumuman dibuat kerajaan, terutama hal berkaitan dengan bantuan kebajikan, saudara dan saudari perlu bertindak dengan pantas untuk memastikan usaha menyampaikan mesej dan bantuan kepada masyarakat dalam komuniti masing-masing dibuat dengan betul dan berkesan.
“Ini termasuk menambah baik proses permohonan bantuan, mengurangkan kekangan birokrasi dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang,” katanya.
Untuk itu, Muhyiddin berkata, individu yang memenuhi kriteria kelayakan penerima bantuan perlu dilayan secara adil dan saksama, bagi memenuhi prinsip prihatin yang menjadi teras pendekatan kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah Ikon Hero Jaket Kebangsaan kepada dua pegawai JKM iaitu Tuah Sajali dan Dayang Rugayah Awang Besar atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan mereka, khususnya ketika pandemik COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd




