Kerajaan komited tangani pihak anti sawit – Utusan Digital

Kerajaan komited tangani pihak anti sawit – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberikan maklumat yang tepat dan mengadakan sesi dialog dengan beberapa negara lain supaya kempen anti sawit atau sekatan negara luar terhadap minyak sawit Malaysia tidak berterusan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sebarang dakyah yang mengatakan minyak sawit hasil keluaran negara ini tidak berkhasiat adalah tidak berasas.

Hal itu termasuk pengurusan perladangan sawit negara yang didakwa menjejaskan alam sekitar selain penggunaan buruh paksa dalam kalangan kanak-kanak untuk menguruskan ladang.

“Kempen tersebut sudah berlaku sejak 30 tahun lalu yang bermula dengan isu kualiti minyak sawit negara yang tidak berkhasiat kalau dibanding dengan produk mereka. Ini (kempen anti sawit) dilakukan semata-mata untuk saingan pasaran kerana mereka mempunyai produk minyak sendiri dan mereka mahu bersaing dengan kita.

“Minyak mereka mahal, sedangkan kita punya murah tetapi berkualiti tinggi. Jadi, ini adalah kempen yang dibuat untuk menjatuhkan pemasaran sawit daripada Malaysia

“Selepas itu, negara luar pergi pula kepada isu alam sekitar yang mengatakan kita sudah tebang pokok dan tidak tanam pokok semula. Ini semua bohong kerana kita mempunyai polisi berapa peratus tanah yang boleh dipakai dan juga penyahutanan. Memang terkawal,” katanya malam ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi bual bicara bertajuk Inklusif Mensejahterakan Sektor Agrikomoditi Negara yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kerajaan malam ini.

Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini memboikot minyak sawit negara dan mengklasifikasikan industri sawit sebagai tidak mampan dan punca kepada kemusnahan hutan.

Bagaimanapun, Malaysia mengambil keputusan mengambil tindakan undang-undang terhadap EU berhubung kempen tersebut sebagai bukti ketegasan kerajaan menangkis amalan diskriminasi perdagangan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ampang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, menyentuh strategi pemasaran di peringkat antarabangsa, kerajaan menumpukan negara-negara di Timur Tengah yang diyakini menjana keuntungan lebih besar selain persamaan dalam aspek halal.

Menurutnya, banyak permintaan minyak sawit daripada negara di rantau berkenaan termasuk China dan India dan kerajaan sudah memulakan sesi pertemuan bagi proses pengimportan minyak sawit ke negara berkenaan.

“Kita akan tumpu pasaran di sini untuk mendapatkan pasaran yang lebih baik dan saya akan melihatkan strategi pemasaran yang lebih baik, dinamik dan tersusun dalam jangka panjang. Jenama kita akan kukuh, dilindungi dan tidak diganggu oleh pihak lain.

“Kita juga akan berurusan dengan negara Islam yang lebih selesa dari aspek halal, jadi, strategi kita adalah fokus kepada pasaran Timur Tengah tetapi ini saya masih lagi berdialog dengan mereka, memberi maklumat dan mencantas tomahan yang tidak berasas itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Scroll to Top