Kerajaan lulus peruntukan RM45.6 juta bina kilang padi MADA di Jerlun

Kerajaan lulus peruntukan RM45.6 juta bina kilang padi MADA di Jerlun

am@hmetro.com.my

Jerlun: Kerajaan meluluskan peruntukan RM45.6 juta bagi pembangunan kilang padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pida Empat, Megat Dewa, di sini sebagai usaha memperkukuh rantaian pengeluaran padi dan beras negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan DatukSeri Mohamad Sabu berkata, projek berkenaan adalah inisiatif julung kali dilaksanakan bagi memastikan proses pengumpulan, pemprosesan dan penghasilan beras dapat dijalankan dengan lebih cekap serta tersusun.

Katanya, kewujudan kilang padi baharu itu dijangka mampu meningkatkan nilai tambah hasil padi tempatan selain memberi manfaat lebih besar kepada peladang.

“Inisiatif ini juga dilihat mampu mengurangkan kebergantungan pesawah kepada orang tengah sekali gus memperkukuh kedudukan mereka dalam rantaian industri padi.

“Dengan adanya kilang baharu ini, proses pengumpulan dan pemprosesan padi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap selain membantu meningkatkan pulangan kepada peladang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan Perjumpaan Bersama Pemimpin Peladang di Kawasan Muda di Ayer Hitam di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, kerajaan komited memperkukuh sektor padi dan beras negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih tersusun serta berdaya saing.

Katanya, dalam masa yang sama kementerian akan melaksanakan pendekatan 3M iaitu Membina, Menaik taraf dan Menyelenggara melalui Pelan Induk Pengukuhan Infrastruktur Pertanian 2026–2040.

“Pendekatan ini memberi tumpuan khusus kepada subsektor padi bagi menangani isu infrastruktur uzur selain memperkukuh sistem sokongan pengeluaran, langkah ini penting bagi memastikan daya tahan sektor pertanian serta keterjaminan bekalan beras negara terus terpelihara.

“Bagi tahun 2026, kementerian akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran di 14 kawasan jelapang serta 13 kawasan luar jelapang.

“Kerja penyelenggaraan ini membabitkan sasaran sepanjang 2,000 kilometer tali air selain penaiktarafan 1,346 kilometer jalan pertanian bagi memastikan kelancaran pengeluaran dan logistik sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan perancangan itu bertujuan memastikan sektor pertanian dan agro makanan negara kekal berdaulat serta berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top