PETALING JAYA: Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan kerajaan serta seluruh rakyat negara itu susulan tragedi kapal selam Kapal Selam KRI Nanggala-402.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk terus menghulurkan bantuan wajar yang diperlukan kepada Indonesia dalam menghadapi waktu genting ini.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarga 53 anak kapal KRI Nanggala 402 dalam menempuh dugaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak berkuasa Indonesia semalam menemukan serpihan kapal selam tentera, KRI Nanggala-402 yang hilang bersama 53 kelasi di perairan utara Pulau Bali dan mengesahkan aset tentera itu tenggelam.
Kapal selam milik tentera Indonesia yang hilang kira-kira jam 10.37 pagi Rabu lalu itu hanya mempunyai bekalan oksigen sehingga pukul 3 pagi pada Jumaat dan operasi mencarinya masih berterusan setakat pukul 8 malam kelmarin. – UTUSAN ONLINE




