Kerajaan Negeri Kedah, P. Pinang perlu henti berbalah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah perlu menghentikan perbalahan dan mengatasi permasalahan secara baik demi kebaikan rakyat kedua-dua negeri

Perbalahan antara kedua-dua kerajaan negeri ini semakin ketara apabila saling mengkritik secara terbuka, kata Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Hiong.

Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang Kedah daripada melaksanakan projek takungan air di sepanjang Sungai Muda yang dikatakan akan mengancam 80 peratus keperluan air Pulau Pinang menunjukkan betapa seriusnya hubungan antara kedua-dua kerajaan negeri.

”Ini bukanlah perbalahan yang pertama kali berlaku bagi dua negeri berjiran ini. Sebelum ini, pertikaian turut berlaku di antara Pulau Pinang dan Kedah apabila Kerajaan Persekutuan semasa pemerintahan Pakatan Harapan meluluskan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

”Kerajaan Pulau Pinang berpendapat pembinaan KXP akan memberi impak negatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan negeri, secara amnya.

”Justeru itu, demi kebajikan rakyat, lebih elok jika kedua-dua kerajaan negeri ini mengadakan pertemuan bersama bagi meleraikan segala kekusutan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Chee Hioang, jika mereka saling membalas serangan, pasti masalah akan bertambah kusut dan rakyat akan menjadi mangsa.

”Saya pasti, setiap keputusan yang dibuat oleh sesebuah kerajaan negeri itu pastinya ia memberi kebaikan untuk rakyat mereka. Tapi jika kerajaan negeri saling bertelagah, apa nasib rakyat nanti? Adakah rakyat akan menanggung kesusahan dan kesempitan yang berpunca daripada sikap ego kerajaan negeri?,” soalnya.

Beliau menyifatkan pertelingahan ini umpama gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.

Tegasnya, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya apatah lagi ketika negara sedang bergelut menghadapi pandemik Covid-19.

Sewajarnya, sebagai kerajaan negeri berbincang dan fikirkanlah keputusan yang terbaik buat negeri dan rakyat secara keseluruhannya, bukannya menambah lagi masalah yang dihadapi rakyat. – MalaysiaGazette