KANGAR: Kerajaan negeri sewajarnya memberi tumpuan kepada asas pembangunan ekonomi iaitu dengan meneruskan kesinambungan projek-projek yang dibawa kerajaan terdahulu.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, apa yang dilihat kerajaan negeri lebih mengutamakan program-program berbentuk temasya berbanding tumpuan kepada ekonomi.
Katanya, kerajaan negeri sewajarnya memberi keutamaan terhadap Projek Pelabuhan Darat (PIP), Projek Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Sanglang Port yang merupakan teras kepada ekonomi Perlis.
“Ini yang seharusnya diberi keutaamaan. Bukan tidak bagus program keramaian namun ia hanyalah nilai tambah, kerana apa yang perlu ditekankan perkembangan projek-projek yang menjadi teras ekonomi ini.
“Malah kita juga nak lihat apakah pelaburan baharu yang mereka telah bawa ke negeri ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan (Empat Peringkat) UMNO Bahagian Kangar di Hotel Putra Regency, di sini, hari ini.
Sementara itu, Fathul Bari berkata, penganjuran mesyuarat cawangan itu memberi fokus terhadap pemerkasaan jentera dan penambahan bilangan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga akan berfungsi untuk memainkan peranan menambah bilangan pengundi parti itu selepas ini.
“Langkah ini dibuat sebagai persiapan awal buat UMNO Bahagian Kangar dalam menghadapi PRU16. Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Disember lepas, terdapat seramai 36,000 pengundi di Bahagian Kangar.
“Jadi anggaran dan andaian kita dari jumlah pengundi tersebut, 75 peratus akan keluar mengundi, dan kita letak sasaran mesti dapat 51 peratus sekurang-kurangnya,” katanya
Fathul Bari berkata, UMNO perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi PRU16.
“Kita pernah merasai kemanisan kemenangan dan kepahitan kekalahan, jadi kita tak nak berkali-kali jatuh dalam lubang sama. Namun itu juga tidak menafikan kebarangkalian untuk kita menang semula dengan situasi kelemahan pentadbiran kerajaan negeri masa kini,” katanya.-UTUSAN




