zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Berang: Kerajaan negeri menyediakan rumah sewa kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya sudah menyewakan sebuah rumah di kawasan berdekatan untuk didiami keluarga itu pada malam ini
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil berkata, pihaknya juga akan menguruskan semua keperluan keluarga mangsa termasuk urusan pengebumian dua beradik yang meninggal dunia, manakala seorang lagi dirawat di hospital.
“Jadi untuk kes ini, kita ada tiga tindakan yang segera iaitu pertama menyediakan rumah sewa untuk keluarga ini bermula malam ini.
“Yang kedua berkenaan dengan pengebumian dua jenazah yang akan diuruskan dan yang ketiga membabitkan seorang lagi mangsa yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Rumah musnah akibat tanah runtuh adalah rumah sewa yang didiami mangsa membabitkan tujuh sekeluarga dan terletak bersebelahan lereng bukit.
Ketika kejadian berlaku, ibu kepada tiga beradik itu tidak berada di rumah kerana berniaga di Bukit Diman, manakala seorang lagi anaknya sedang bekerja.
© New Straits Times Press (M) Bhd