am@hmetro.com.my
Sungai Besar: Kerajaan Negeri Selangor masih berbincang termasuk melakukan proses rundingan berhubung pengosongan rumah penduduk di kawasan Batu 11, Gombak.
Ini termasuk penangguhan tarikh yang mana sebelumnya, penduduk menerima notis kedua daripada Jabatan Perhutanan Selangor yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing selewat-lewatnya 10 November ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan menjadi ‘mediator’ dengan pemaju untuk menambah baik kualiti sedia ada.
“Aslinya, penduduk bukan tinggal di kawasan tanah asal mereka. Itu adalah tanah rizab hutan yang telah diduduki selama ini.
“Rundingan sedang berjalan dan Insya-Allah, kita akan beri jawapannya nanti. Semalam atau dua hari lalu sudah ada beberapa kesimpulan namun perlu tunggu untuk ‘finalise’ daripada kedua-dua pihak (penduduk dan pemaju),” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2025 di Parit 14, Simpang Lima, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, atas faktor kemanusiaan, kerajaan negeri berusaha untuk membantu penduduk dengan kaedah perbincangan.
“Dengan perkara ini, mereka boleh berpindah dengan sedikit bantuan dan sokongan daripada kita.
“Kita tak nak hukum penduduk sebegitu rupa namun kita perlu ikut ‘rules and regulations’.
“Mereka tidak boleh menceroboh dan duduk di kawasan hutan walaupun sekian lama (menetap). Malah sebelum ini kita tidak ambil tindakan atas faktor keinsanan dan kemanusiaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, penduduk menerima notis pertama pada 15 Oktober 2024 yang membabitkan 24 rumah namun diberikan penangguhan tanpa tarikh tetap.
Bagaimanapun, pada 9 Oktober lalu, penduduk sekali lagi menerima notis baharu yang memaklumkan mereka perlu mengosongkan rumah dalam tempoh sembilan hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd



