PADANG BESAR: Kerajaan negeri mengambil inisiatif menyumbang 120 ekor lembu bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang sekali gus memanfaatkan seluruh rakyat di negeri ini.
Sumbangan turut diterima daripada anak syarikat kerajaan negeri dan pelbagai pihak sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam menyemarakkan ibadah korban di Perlis.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, lembu tersebut masing-masing diagihkan kepada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Senator, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta jabatan-jabatan negeri dan persekutuan.
Katanya, setiap ADUN dan Ahli Parlimen antaranya menerima tiga ekor lembu.
Beliau berkata, daging korban itu akan diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
“Inisiatif tersebut mencerminkan semangat kerjasama, perpaduan dan nilai kebajikan yang sentiasa menjadi teras dalam memperkukuhkan hubungan antara kerajaan, agensi dan masyarakat demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Insya-Allah seluruh rakyat akan menerima manfaat daripada inisiatif tersebut selain kita terus memperkukuhkan semangat perpaduan, kebajikan dan kerjasama demi rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan lembu korban kerajaan negeri di Abdullah Nayan Fedlot di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, pengagihan lembu korban tersebut juga sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam menyemarakkan ibadah korban pada tahun ini di Perlis.-UTUSAN




