Kerajaan Nepal tubuh pasukan khas jejaki warga asing hilang dalam banjir dahsyat

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Nepal menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) bagi menyelaraskan usaha membabitkan warga asing yang terjejas atau dilaporkan hilang susulan banjir dahsyat di Sungai Bhotekoshi, Rasuwa.

Menurut laporan Himalayan Times yang memetik kenyataan kementerian itu, pasukan itu akan bertindak sebagai mekanisme penyelarasan pusat untuk mengesahkan maklumat, menyokong operasi mencari dan menyelamat serta memberikan bantuan konsular kepada warga asing yang terjejas akibat bencana itu.

ERT akan mengumpulkan maklumat mengenai warga asing yang terjejas, menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan serta berkongsi maklumat terkini yang telah disahkan dengan keluarga dan perwakilan diplomatik mereka.

Kementerian itu menggesa perwakilan diplomatik, pertubuhan antarabangsa, keluarga dan orang ramai supaya melaporkan maklumat mengenai warga asing yang terjejas atau hilang menerusi talian +977-9744441227 atau +977-9744441228 (telefon/WhatsApp) atau e-mel emergency@mofa.gov.np.

Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir dahsyat pagi Rabu itu telah meragut 389 nyawa setakat Khamis.

Sekurang-kurangnya 31 orang diselamatkan, manakala lebih 800 yang lain termasuk ratusan pelancong asing yang kebanyakannya dari India dan Nepal, masih belum ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jumlah rakyat Malaysia yang masih belum ditemui dalam bencana itu menunggu pengesahan pihak berkuasa Nepal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top