Kerajaan nilai semula dasar, strategi pembekalan beras putih tempatan

Kerajaan nilai semula dasar, strategi pembekalan beras putih tempatan

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan komitmennya untuk menilai semula dasar dan strategi pembekalan beras putih tempatan (BPT).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penilaian semula dasar itu akan mengambil kira beberapa faktor termasuklah dari segi harga kawalan, kos pengeluaran serta trend pasaran sebagai langkah ke arah keseimbangan industri padi dan beras negara.

Katanya, hasil penilaian itu kelak akan digunakan bagi memperkemas dasar pembekalan beras pada masa hadapan selepas tamatnya Program Khas BPT Bersubsidi Tahun 2025 pada 31 Ogos lalu.

“Penamatan program ini adalah bagi memberi ruang kepada KPKM untuk melaksanakan penilaian pasaran (market assessment) serta menyelesaikan pelbagai isu yang sudah dikenal pasti sepanjang tempoh pelaksanaannya.

“Hasil daripada penilaian ini akan digunakan bagi memperkemas dasar dan strategi pembekalan beras negara pada masa hadapan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Mohamad menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang meminta KPKM menyatakan inisiatif diambil dalam menyemak semula harga kawalan BPT selaras dengan kos semasa yang ditanggung oleh petani dan pesawah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata hasil tinjauan terhadap trend permintaan sejak pelaksanaan program itu mendapati permintaan terhadap BPT hanya mencapai kira-kira 75 peratus berbanding sasaran asal sebanyak 24 juta kampit.

“Hasil sesi libat urus KPKM bersama kumpulan pesawah, pengilang dan pemborong, merumuskan bahawa pengguna ketika ini cenderung membeli beras berdasarkan jenama dan citarasa serta

tidak dipengaruhi oleh faktor harga RM26 bagi kampit 10 kilogram berikutan harga runcit beras putih import (BPI) sejak enam bulan lalu tidak lagi terlalu jauh berbeza dengan harga BPT.

“Ini berikutan penyelarasan jualan BPI di pintu gudang BERNAS daripada RM2,800 kepada RM2,600 per tan metrik yang berkuat kuasa 15 Mei lalu. Kesan daripada penyelarasan harga BPI berkenaan, KPKM

mendapati harga runcit BPI kini turun antara RM1 hingga RM2 bagi setiap kampit 10 kilogram.

“Hasil penilaian di atas, KPKM berhasrat untuk mengemukakan cadangan mengenai hala tuju pembekalan beras putih dalam negara,” katanya.

Tambahnya, cadangan itu juga akan meneliti mekanisme bagi menangani amalan pencampuran beras untuk pertimbangan kerajaan dalam masa terdekat sebagai usaha penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh demi keseimbangan dalam industri padi dan beras.

“KPKM berharap segala usaha yang sedang dilaksanakan mendapat sokongan semua pihak demi kebaikan serta masa depan industri padi dan beras negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top