am@hmetro.com.my
Kuantan: Kerajaan Pahang menegur kelewatan syarikat telekomunikasi menangani masalah talian komunikasi dan gangguan itu dilaporkan semakin kerap berlaku di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal, berkata masalah berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana menyusahkan pengguna.
Menurutnya, saban hari Kerajaan Pahang menerima semakin banyak aduan pengguna mengenai gangguan talian komunikasi di negeri itu.
“Bagaimanapun syarikat penyedia perkhidmatan itu mengambil masa terlalu lama menyelesaikan masalah berkenaan.
“Sedangkan ketika sesi libat urus membabitkan Kerajaan Pahang dan syarikat telekomunikasi, September lalu, penyedia perkhidmatan berkenaan sudah menyatakan komitmen menambah baik mutu perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzli berkata, aduan terbaru membabitkan gangguan talian komunikasi di Ulu Dong, Raub dan masalah itu sudah berlarutan sejak tiga hari lalu.
Menurutnya, gangguan teruk capaian telekomunikasi itu membabitkan kawasan sekitar Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas dan Kampung Peruas mempunyai lebih 3,000 penduduk.
“Masalah itu menyusahkan urusan pelbagai pihak khususnya penduduk kampung, peniaga dan pelancong bercuti di Ulu Dong,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




