Kerajaan pantau rapat krisis bekalan global, ekonomi negara masih stabil

Kerajaan pantau rapat krisis bekalan global, ekonomi negara masih stabil

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan krisis bekalan global susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang masih memberi tekanan kepada pasaran tenaga, harga komoditi, kos logistik dan rantaian bekalan antarabangsa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 10/2026 hari ini menerima pelbagai maklum balas serta kemas kini berkaitan perkembangan semasa krisis berkenaan.

Katanya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan limpahan global yang boleh menjejaskan kos pengeluaran, harga barangan, operasi perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

“Walaupun pasaran tenaga global mula menunjukkan sedikit kestabilan, situasi semasa masih perlu dipantau rapat kerana sebarang gangguan baharu boleh memberi kesan kepada kos tenaga dan pengeluaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Menurutnya, purata harga minyak mentah Brent bagi tempoh 5 hingga 8 Mei 2026 menurun 8.5 peratus kepada AS$108.40 setong berbanding AS$118.50 setong minggu sebelumnya.

Namun katanya, harga itu masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$68.84 setong sebelum tercetusnya krisis tenaga global pada Februari lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan ekonomi Malaysia kekal stabil dengan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama 2026.

Katanya, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini pula menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus, sekali gus memberi isyarat ekonomi negara masih berada pada landasan pertumbuhan baik dengan tekanan harga yang terkawal.

“Pasaran ekuiti tempatan juga mengekalkan momentum positif apabila FBM KLCI meningkat 2.1 peratus kepada 1,748.06 mata pada 8 Mei 2026,” katanya.

Beliau berkata, sektor komoditi utama negara turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila purata harga minyak sawit meningkat 1.2 peratus kepada RM4,558 satu tan, manakala harga getah naik 2.3 peratus kepada 874 sen sekilogram.

Menurutnya, perkembangan itu dijangka menyokong pendapatan eksport negara selain memberi manfaat kepada pekebun kecil dan aktiviti ekonomi domestik.

Dalam sektor pembuatan pula, katanya, PMI Pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 51.6 pada April lalu, tertinggi dalam tempoh empat tahun, disokong peningkatan permintaan dan aktiviti pengeluaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, firma pembuatan mula membina stok keselamatan serta berdepan tempoh penghantaran pembekal yang lebih panjang susulan risiko gangguan bekalan dan peningkatan kos input.

Menyentuh mengenai kos sara hidup, beliau berkata, walaupun harga makanan secara keseluruhan masih terkawal, beberapa item makanan mula mencatatkan kenaikan.

Katanya, harga ikan kembung meningkat 3.9 peratus kepada RM17.42 sekilogram, sawi naik 4.0 peratus kepada RM7.23 sekilogram dan santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram.

“MTEN dan Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan bahawa rakyat di beberapa kawasan terutama luar bandar mula merasai tekanan harga barangan harian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan menyelaras pelbagai inisiatif kerajaan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan miskin dan rentan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap tekanan yang dihadapi peniaga kecil dan usahawan mikro akibat peningkatan kos operasi.

Katanya, susulan pengumuman Perdana Menteri minggu lalu, agensi Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah mula melaksanakan pengurangan sewa sebanyak 20 peratus membabitkan lebih 7,135 lot premis perniagaan di seluruh negara bermula bulan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top