Kerajaan Perak digesa tarik semula pemansuhan hutan simpan untuk projek kuari

Kerajaan Perak digesa tarik semula pemansuhan hutan simpan untuk projek kuari

am@hmetro.com.my

Lumut: Kerajaan Perak digesa menarik semula pemansuhan kira-kira 548.1 hektar Hutan Simpan Segari Melintang di Teluk Mengkudu, di sini, yang dinyahwarta pada Mei tahun lalu untuk projek kuari.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, ia membabitkan kawasan seluas 287.8 hektar di pesisiran pantai Teluk Mengkudu dan 260.3 hektar lagi di kawasan Air Terjun Tanjung Batu.

Beliau berkata, kawasan yang satu-satunya hutan bukit pantai di negeri itu sedang diteroka oleh jentera berat sejak tiga bulan lalu.

“Kualiti air laut di pesisir pantai akan merosot menyebabkan pendapatan nelayan kecil terjejas, pantai berpasir tidak lagi akan menjadi kawasan pendaratan penyu spesis agar (chelonia mydas).

“Atas kertas memang cantik dengan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk elak berlaku impak kepada alam sekitar, tetapi realiti tetap berlaku kemusnahan alam dan kesan ke atas sosioekonomi manusia,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, semakan mendapati, pemansuhan sebahagian hutan simpan itu bercanggah dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030.

Katanya, dalam mesyuarat bersama jawatankuasa teknikal pada 2016 lalu, dipersetujui menolak sebarang projek kuari baharu di kawasan itu selain mengekalkan status hutan simpan berkenaan.

Nelayan, Zolkapli Hassan, 63, berkata, pemansuhan status hutan simpan itu turut menyebabkan kira-kira 200 nelayan kecil kehilangan kawasan berehat di Pantai Teluk Akuan yang dijadikan kawasan berlindung semasa kejadian ribut.

“Jika kawasan ini berlaku kemusnahan, habislah kami. Sudahlah sekarang hasil ikan pun semakin berkurang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top