Kerajaan perkenal Akta Tanggungjawab Fiskal – Utusan Digital

Kerajaan perkenal Akta Tanggungjawab Fiskal – Utusan Digital

PETALING JAYA: Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal dengan tujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi memastikan kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan ekonomi makro pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Kertas Konsultasi Awam berkenaan Akta tersebut telah diterbitkan dan semua maklum balas konstruktif akan dipertimbangkan untuk menambah baik draf yang sedang disediakan.

“Selain itu, kerajaan juga sedang melaksanakan Public Expenditure Review dengan kerjasama Bank Dunia bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam.

“Dengan itu, produktiviti perbelanjaan awam dapat ditingkatkan bagi memastikan nilai faedah terbaik bagi setiap ringgit duit rakyat,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Menurut beliau, kerajaan telah menangani krisis pandemik Covid-19 dalam keadaan ruang fiskal yang sempit memandangkan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya dan kutipan hasil yang terjejas.

Justeru kata beliau, kerajaan terpaksa bergantung kepada sumber hasil bukan cukai di samping meningkatkan hutang statutorinya bagi memastikan pakej bantuan dan rangsangan serta projek pembangunan dapat diteruskan.

“Bagi tahun 2022, iaitu tahun pemulihan ekonomi, reformasi dan pengukuhan fiskal akan dimulakan bagi membina semula benteng ketahanan fiskal negara dalam menghadapi cabaran di masa hadapan,” katanya.

Scroll to Top