Kerajaan pertimbang tenaga nuklear sebagai sumber tenaga elektrik bersih – PETRA

Kerajaan pertimbang tenaga nuklear sebagai sumber tenaga elektrik bersih – PETRA

Kerajaan sedang melaksanakan penilaian terancang bagi mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan sumber tenaga elektrik bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara pada masa hadapan.

Langkah itu susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, selaras dengan usaha mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Kerajaan pertimbang tenaga nuklear

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), pelaksanaan inisiatif tersebut dikendalikan oleh MyPOWER Corporation selaku Nuclear Energy Programme Implementing Organization (NEPIO), berdasarkan garis panduan yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Fasa persediaan ini dilaksanakan melalui koordinasi rangka kerja yang teratur, menerusi mekanisme jawatankuasa teknikal merentasi kementerian dan jabatan atau agensi, bagi memastikan pendekatan yang bersepadu dan menyeluruh di peringkat nasional.
“Pelaksanaannya akan berpandukan kepada IAEA Milestone Approach, termasuk aspek pendirian negara, rangka kerja perundangan dan kawal selia, penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan sumber manusia,” menurut kenyataan PETRA, hari ini.

Artikel lain: PETRA labur RM5.9 bilion demi rakyat, 38 projek air diluluskan di Pahang

Setakat ini, belum ada sebarang keputusan dibuat berkenaan pelaksanaan, jenis teknologi atau kapasiti reaktor nuklear yang akan dibangunkan.

“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan sebarang pertimbangan pada masa hadapan dibuat berasaskan analisis teknikal yang komprehensif, sejajar dengan keutamaan pembangunan negara serta mematuhi obligasi antarabangsa.
“Ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan perancangan jangka panjang negara berasaskan ilmu, kemampanan sumber dan kesejahteraan rakyat serta generasi masa depan,” jelas kenyataan itu lagi.

Scroll to Top