Kerajaan PN tumpu usaha lindungi nyawa, kehidupan rakyat

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited memberi tumpuan terhadap usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat sejak setahun lalu.

Berikutan itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan mengambil langkah berani dan proaktif termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion.
Katanya, langkah itu diambil bagi membendung penularan COVID-19 dan pada masa sama meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan perniagaan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan barisan hadapan, penjawat awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan masyarakat umum, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung melalui media dan media sosial rasmi kerajaan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, negara ketika ini berdepan dengan tiga gelombang jangkitan COVID-19.

“Kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan gelombang pertama, membendung gelombang kedua dan pada masa ini kes harian dalam gelombang ketiga COVID-19 menunjukkan aliran penurunan.
“Sistem kesihatan negara kita juga bukan sahaja terus mampu bertahan, malah semakin efektif dalam merawat pesakit COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata, kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia iaitu di bawah 0.4 peratus dengan lebih 90 peratus daripada yang dijangkiti disahkan pulih sepenuhnya.

Malay News
National Desk

Scroll to Top