razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan akan terus bertindak secara teratur dan menyeluruh dalam mendepani ketidaktentuan global bagi memastikan rakyat terus dilindungi, bekalan strategik negara kekal terjamin serta ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus kerajaan bukan sekadar memantau krisis, sebaliknya mengurus kesan dan risiko supaya rakyat mampu melalui tempoh mencabar ini dengan sebaik mungkin.
Katanya, dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini, beberapa kertas penting dibincangkan termasuk usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan susulan konflik tersebut.
“Kertas pertama adalah tindakan membanteras ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan berikutan konflik di Asia Barat.
“Terdapat tiga strategi utama yang digariskan iaitu meningkatkan pengawasan rantaian bekalan, yakni seperti di stesen minyak dan sempadan, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bersama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk sempadan dan APMM( Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) untuk laut, serta juga pendekatan ‘whole of nation’.
“Perkara ini akan diberikan keadaan terkini melalui Timbalan Perdana Menteri mahupun daripada KPDN,” katanya pada taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung hari ini.
Beliau berkata, untuk kertas kedua, pihaknya membincangkan soal keterjaminan ubat dan peranti perubatan negara yang turut terkesan berikutan kekurangan bahan mentah penting seperti API, petroleum dan gas etilena oksida atau pun gas EO, sekali gus menaikkan kos pengilangan dan penghantaran.
“Antara langkah jangka pendek yang dibincangkan untuk memantau stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan dan menetapkan item tertentu sebagai item kawalan, melaksanakan juga laluan khas ataupun ‘special access pathway’ untuk memastikan akses kepada keperluan kritikal.
“Kerajaan juga melihat langkah yang lebih kukuh untuk jangka masa sederhana dan panjang, iaitu mewujudkan stok penimbal strategik nasional, beralih daripada penggunaan bahan mentah resin kepada polimer bagi sesetengah produk, membangunkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMEDSecure, serta memperkasa industri ubat dan peranti perubatan tempatan.
“Maklumat lanjut akan terus dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Katanya, perbincangan turut tertumpu kepada senario dan impak krisis tenaga global ini kepada operasi haji.
“MTEN telah diberi pembentangan mengenai status dengan 31,600 orang jemaah haji daripada Malaysia.
“Dengan keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




