Kerajaan Pusat akan segerakan projek tebatan banjir di Kelantan – PM Anwar

Kerajaan Pusat akan segerakan projek tebatan banjir di Kelantan – PM Anwar

am@hmetro.com.my

Bachok: Kerajaan memutuskan akan menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri itu yang berlaku saban tahun.

Perdana Menteri Daruk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek yang membabitkan beberapa fasa itu menelan kos tinggi, justeru, pengambilan tanah harus dilakukan dengan cepat.

“Kita tidak sanggup melihat saban tahun Kelantan mengalami banjir yang tidak terkawal dengan kerajaan silih berganti. Justeru, saya meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan Kementerian Ekonomi melihat beberapa kaedah baru bagi menangani isu berkenaan.

“Jika kita melihat bila banjir sampai air melimpah dan apabila kemarau, air kering kontang. Jadi, Allah SWT berikan kita ikhtiar dan teknologi air yang mungkin boleh disimpan ketika melimpah untuk digunakan pada musim kemarau.

“Kerajaan Pusat dengan Kelantan memang ada sedikit perbezaan, namun tujuan kita adalah sama mahu mengangkat martabat negara dan negeri. Justeru, masalah rakyat itu mesti diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top