bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan geran berjumlah RM19.2 juta kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) di seluruh negara bagi tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan kewangan itu sejajar prinsip keterangkuman Keluarga Malaysia bagi memastikan tiada mana-mana golongan yang terpinggir.
“Kita beri peruntukan khusus kepada pusat orang kurang upaya (OKU), rumah orang tua dan juga pusat jagaan lain.
“Selain itu, kanak-kanak istimewa dan orang tua yang tidak tinggal di rumah yang dikhaskan misalnya mereka tinggal di kampung, juga ada peruntukan khas sedia ada dalam bajet tahunan yang diluluskan,” katanya selepas mengunjungi Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan, Taman Gembira di sini, sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2022, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni dan menyerahkan pek makanan berserta buah limau kepada anak-anak istimewa di pusat jagaan itu.
Turut hadir, isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Ismail Sabri berkata, kategori geran disalurkan merangkumi PSK OKU (RM8.6 juta), PSK Kanak-kanak (RM6.3 juta), PSK Warga Emas (RM1.7 juta), PSK Keluarga (RM1.7 juta) dan lain-lain PSK (RM767,000).
Sementara itu, Ismail Sabri berharap kunjungannya ke pusat jagaan kanak-kanak istimewa itu dapat membawa kegembiraan dan keceriaan kepada seluruh anak-anak istimewa di situ.
“Sempena Tahun Baharu Cina ini, saya berpeluang mengunjungi pusat jagaan orang tua dan pusat jagaan kanak-kanak istimewa, jadi kedatangan saya (hari ini) untuk membawa sedikit kegembiraan kepada mereka.
“Saya dapati keadaan di sini semua ‘okay’ dan mendapat makluman (daripada pusat jagaan) kanak-kanak ini dihantar ke sekolah khas dan juga Pusat Dalam Komuniti, jadi mereka dijaga dari segi masa depan dan pelajaran,” katanya.
Ismail Sabri turut mengingatkan masyarakat yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina sentiasa patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Kali ini kita memberi sedikit kelonggaran yang berbeza berbanding tahun lalu, namun SOP mesti dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup separuh muka dan amalkan penjarakan fizikal.
“Kita patuhi SOP bukan untuk orang lain, tetapi untuk kepentingan keluarga kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd