am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Kerajaan sedia untuk mencadangkan pengisytiharan darurat di kawasan yang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 400, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jerebu di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tiga kawasan yang mencatatkan bacaan tahap sangat tidak sihat ketika ini adalah di kawasan Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman di Sarawak.
Menurutnya, kerajaan akan memberi tumpuan melaksanakan operasi pembenihan awan di tiga kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi kategori sangat tidak sihat iaitu melebihi 400.
“Daripada 68 stesen ukur pencemaran udara, hanya tiga stesen mencatatkan udara sangat tidak sihat.
“Tiga stesen yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat adalah di Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman, manakala satu stesen iaitu di kawasan Serian masih mencatatkan bacaan berbahaya,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Arthur merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Sekolah Angkat Malaysia MADANI di Kampung Basung, di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abdul Rashid.
Mengenai tahap IPU di Serian yang diisytiharkan darurat pada semalam, Arthur berkata, kerajaan akan terus melaksanakan operasi pembenihan awan bagi mengurangkan tahap jerebu.
Katanya, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di beberapa kawasan di Sarawak dan utara Semenanjung termasuk Kedah dan Perlis menunjukkan hasil positif apabila merekodkan hujan bermula petang semalam sehingga awal pagi hari ini.
“Kerajaan sudah menerima kebenaran bertulis daripada Kerajaan Indonesia bagi membolehkan aset udara memasuki ruang udara republik itu untuk tujuan operasi pembenihan awan.
“Kita sudah melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak dan bersedia untuk meluaskan operasi menggunakan aset udara merentas sempadan,” katanya.
Mengulas mengenai syarikat perladangan dari negara ini melakukan pembakaran terbuka, Arthur berkata, kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan sewajarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
