MUAR – Kerajaan Madani akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan berhubung isu kos dan kelewatan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam susulan teguran baginda.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius teguran itu dan bersedia memberikan penjelasan lanjut kepada baginda berhubung perkembangan semasa projek berkenaan.
“Teguran baginda kita terima dan saya akan cuba memohon untuk menghadap Sultan Selangor bagi memberikan penjelasan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam amal di sebuah restoran di sini malam ini.
Turut hadir, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor PH Datuk Seri Amirudin Shari; serta beberapa calon PH yang bertanding di sekitar Muar.
Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah, projek LRT3 mengalami kelewatan lebih 18 bulan susulan pertukaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2018, sebelum tertangguh lagi selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19 sehingga 2021.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan apabila dalam tempoh itu, cadangan saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak tren dikurangkan dan lima lokasi stesen dalam jajaran berkenaan dibatalkan.
Menurut baginda, projek LRT3 bukan projek mega untuk bermegah-megah, sebaliknya satu keperluan penting demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan turut meningkatkan kekerapan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memudahkan pengundi luar pulang mengundi pada PRN Johor ke-16, 11 Julai ini.
Katanya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah menambah kekerapan perjalanan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru.
“Ini termasuk memudahkan rakyat yang pulang dari Singapura menggunakan ETS ke Segamat, Labis dan kawasan sekitarnya.
“Pengundi dari utara juga boleh menggunakan ETS untuk pulang ke Johor. Kita berharap pertambahan pengangkutan awam ini dapat menggalakkan lebih ramai pengundi pulang menunaikan tanggungjawab,” katanya.
PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai. – Bernama



