am@hmetro.com.my
Klang: Kerajaan negeri akan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menyiasat dakwaan berlaku pembersihan hutan secara haram berhampiran Taman Damai, Batu 18, Hulu Langat.
Aktiviti berkenaan didakwa menjadi salah satu punca kejadian banjir berulang seperti di Jalan dan Kampung Sungai Serai, Sungai Lui, Kampung Jawa, Batu 18, Dusun Tua, Batu 14, Batu 13 serta Dusun Nanding.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan diteliti dan beliau akan meminta jabatan berkaitan menyiasat dakwaan terbabit.
“Kita akan lihat dahulu apa benda yang berlaku. Kita akan minta jabatan terbabit untuk siasat, yang ada kaitan dengan rizab sungai akan dilakukan JPS, kalau hutan Jabatan Perhutanan akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi KOSAS Datuk Mohd Aini Mohd Taib.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 juga akan disegerakan bagi menyelesaikan masalah banjir di daerah berkenaan.
Katanya, projek berkenaan masih dalam proses reka bentuk dan jika dapat diselesaikan segera, masalah banjir di Hulu Langat akan dapat diatasi.
“Kalau ia (projek) dapat diselesaikan saya percaya ia menyelesaikan masalah banjir di Hulu Langat sebab air dari sana akan pergi ke Kuala Langat dan Sepang.
“Memang projek-projek JPS akan mengambil masa yang panjang terutama dalam reka bentuk. Saya akan pantau sendiri supaya ikut jadual supaya tidak terlewat dan mencari solusi yang segera untuk dipercepatkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




