Kerajaan serius tangani ancaman ejen perisik Mossad di Malaysia

Kerajaan serius tangani ancaman ejen perisik Mossad di Malaysia

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Badan perisikan Malaysia mengambil berat mengenai kehadiran ejen perisikan antarabangsa terutamanya daripada agensi keselamatan Israel, Mossad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah-langkah tambahan sudah diambil, selain Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sedang mengenalpasti dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

“Sebenarnya bahaya kehadiran badan-badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti.

“Seperti Yang Berhormat (Machang) sebut, memang (seorang pensyarah dari Palestin, Dr Fadi M R Al Batsh Fatma) dibunuh dan sebelum itu dikenal pasti beberapa tindakan lain yang kemudian diambil tindakan.

“Cuma mereka ini cukup canggih dan pantas. Banyak yang keluar lari (dari Malaysia) sebelum dapat dikenal pasti.

“Paling akhir ialah kes di mana pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang telah bersekongkol dengan ejen dipercayai Mossad menyeludup senjata dari Thailand dan kemudian ditangkap (serta) sekarang ini ditahan di penjara,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai langkah kerajaan bagi mengelakkan kemasukan ejen Mossad ke negara ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut bertanyakan mengenai masalah sistem autogate baru-baru ini yang gagal berfungsi baru-baru ini di pintu masuk utama negara.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar berkata, masalah berkenaan telah dapat diselesaikan.

“Alhamdulillah setakat ini sudah pun dapat diselesaikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top