Kerajaan setuju selesaikan bayaran tanah di Gemas kepada kerajaan Negeri Sembilan

Kerajaan setuju selesaikan bayaran tanah di Gemas kepada kerajaan Negeri Sembilan

Nilai: Kerajaan bersetuju menyelesaikan bayaran pampasan premium tanah yang tertunggak kepada kerajaan Negeri Sembilan yang membabitkan tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam kerana isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dan masalah itu memerlukan langkah penyelesaian segera.

“Ada berita baik bagi Negeri Sembilan berkenaan masalah berpanjangan bertahun-tahun antara Persekutuan dengan kerajaan negeri mengenai bayaran pampasan tanah di Gemas …. Kerajaan MADANI semalam putuskan hal ini mesti selesai dan yang mana patut bayar, perlu bayar balik kepada Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan di Dataran Nilai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin yang merangka program pembangunan seperti Malaysia Vision Valley (MVV) dan inisiatif pelancongan di Port Dickson bagi memperkasakan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini bersedia menawarkan opsyen kepada kerajaan Persekutuan bagi melunaskan bayaran premium Pemberimilikan Tanah Kerajaan Secara Hakmilik Tetap Di Kem Syed Sirajuddin, Gemas secara ansuran.

Aminuddin dilaporkan berkata kerajaan negeri berhadapan dengan isu bersama Kementerian Pertahanan berhubung bayaran tanah seluas 6,653 hektar itu untuk Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur di kem berkenaan berjumlah RM2.16 bilion sejak 2014.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top