suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Kerajaan bersedia menyokong segala inisiatif Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi memperkukuh keselamatan pegawainya termasuk kemungkinan menggunakan senjata api.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mengenai persenjataan pegawai AKPS akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan agensi untuk menilai keperluan operasi serta aspek keselamatan.
“Sekiranya wujud keperluan untuk meningkatkan keselamatan pegawai AKPS, termasuk penggunaan senjata api, saya serahkan sepenuhnya kepada pimpinan agensi, iaitu Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah untuk menyusun dan menentukan susunan yang sesuai.
“Peranan kami di Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah untuk menyediakan sokongan yang diperlukan supaya agensi dapat melaksanakan tugas dengan berkesan sambil memastikan keselamatan pegawai dan kakitangannya,” katanya ketika meninjau persediaan Op Khas Pagar Laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya akan terus menyokong AKPS supaya agensi baharu ini dapat meningkatkan kecekapan operasi bagi menghadapi cabaran dan tanggungjawab sempadan yang semakin besar.
Kenyataan itu dibuat susulan insiden cubaan menembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Timbalan Pesuruhjaya Kanan Mohd Nasaruddin M Nasir yang mencetuskan perbincangan mengenai keselamatan pegawai dan kesiapsiagaan operasi dalam agensi berkenaan.
Saifuddin berkata, keutamaan kini adalah memastikan AKPS bersedia sepenuhnya dan kakitangannya selamat, sambil terus memperkukuh struktur dan keupayaan menghadapi cabaran keselamatan sempadan yang semakin kompleks.
Berhubung penahanan suspek yang terbabit dalam insiden tembakan itu, Saifuddin berkata, mereka telah dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman hari ini.
“Ketua Polis Kedah dijangka mengadakan sidang media mengenai penahanan tersebut esok,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




