am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kerajaan tidak pernah menentang penternakan babi namun menegaskan aktiviti itu tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan penduduk setempat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bersikap jelas dari segi dasar dengan tidak melarang penternakan babi atau amalan pemakanan orang bukan Islam, namun aspek lokasi perlu mengambil kira sensitiviti dan ketenteraman masyarakat.
“Begitu juga mengenai ternakan babi. Saya setuju dengan pandangan tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan.
“Kalau mahu, cari pilihan tempat yang jauh, boleh teruskan. Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi atau tidak melarang orang bukan Islam makan babi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.
Anwar berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dijadikan sentimen perkauman atau agama, sebaliknya perlu dilihat dari sudut kesihatan awam, alam sekitar dan keselesaan penduduk setempat.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang hak orang bukan Islam untuk memakan babi, namun tidak bersetuju jika penternakan itu ditempatkan di kawasan kediaman yang dihuni masyarakat yang tidak mengamalkannya.
“Ternakan babi bukan soal Cina atau Melayu. Kalau orang bukan Islam mahu makan, itu hak mereka dan tidak wajar dihalang.
“Tetapi kalau di kawasan penduduk yang majoritinya tidak makan babi, termasuk orang Islam, itu tidak kita galakkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bantahan terhadap pembinaan ladang babi di kawasan perumahan bukan berpunca daripada sentimen perkauman, sebaliknya berasaskan isu sebenar yang dihadapi penduduk.
“Jadi cari tempat yang ada konsensus. Kalau di Kuala Lumpur tak ada, tak adalah. Kalau di Selangor susah, sukarlah. Janganlah cari masalah,” katanya.
Katanya, walaupun terdapat teknologi moden di negara maju yang mampu mengurangkan impak kebersihan, ia tidak bermakna penternakan sedemikian wajar ditempatkan di kawasan berpenduduk.
“Apa jawapannya, apakah harus diteruskan di kawasan yang mungkin menimbulkan kontroversi? Jawapan saya, jangan. Cari tempat yang tidak menimbulkan kontroversi, yang ada konsensus.
“Saya (pun) tidak setuju kalau di sekitar rumah saya dekat Sungai Long ada ternakan babi. Bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, sebab saya tak tahan baunya,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga tidak mahu memaksa komuniti yang menolak penternakan terbabit untuk menerimanya, khususnya jika berpotensi menjejaskan persekitaran dan kesihatan.
Beliau turut mengingatkan supaya sebarang cadangan diteliti secara berunding dan berhemah, bukannya ditolak atau disokong secara melulu sehingga mencetuskan ketegangan kaum.
“Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesan bau. Kalau ditolak tanpa dengar, nanti dikata kita anti Cina atau anti babi. Itu tidak benar,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah berasaskan rundingan dan saling menghormati hak semua pihak, demi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




