Kerajaan teliti peruntukan undang-undang tangani aktiviti songsang – Saifuddin Nasution

Kerajaan teliti peruntukan undang-undang tangani aktiviti songsang – Saifuddin Nasution

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang meneliti keperluan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada susulan serbuan pihak berkuasa berkaitan aktiviti tidak bermoral di sebuah pusat kesihatan di ibu negara baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya kini sedang dalam perancangan untuk memperhalusi peruntukan berkaitan bagi memastikan siasatan kes seperti itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Apakah ada satu keperluan untuk melihat semula peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani kes-kes seperti itu?

“Jawapannya, ya… sudah sampai masanya untuk kita teliti beberapa peruntukan yang terkait untuk diperhalusi.

“Kalau berdasarkan peruntukan yang sedia ada saya boleh sebutkan bahawa ia tidak memadai untuk kita mengambil tindakan ke atas kes yang sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025, di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

Menurutnya, kekangan itu menyebabkan suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas mahkamah tidak membenarkan lanjutan reman, namun siasatan tetap diteruskan kerana semua individu terbabit sudah diprofilkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur bahawa operasi berkenaan dijalankan hasil intipan berbulan-bulan serta melibatkan tindakan bersama beberapa agensi.

“Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Kuala Lumpur yang mengesahkan intipan itu memakan masa berbulan-bulan termasuk penguatkuasaan secara bersama dengan agensi yang lain.

“Jumlah tangkapan adalah besar, namun proses siasatan berdepan kekangan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Katanya, dengan penelitian semula peruntukan itu, pihaknya akan memperincikan langkah yang lebih jelas bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak lagi berdepan kekangan sama sekali gus membolehkan siasatan kes sebegitu diselesaikan dengan lebih teratur dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan isu privasi tidak timbul kerana kegiatan itu berlaku dalam sebuah premis melibatkan lebih daripada seorang individu.

Katanya, pihak berkuasa perlu menyeimbangkan antara tugas penguatkuasaan untuk mengekang aktiviti tidak bermoral dengan hak sivil individu.

“Polis terpaksa menyeimbangkan antara tanggungjawab penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral dengan hak sivil individu,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, sebanyak 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan di kawasan Chow Kit dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka.

Fadil berkata, tanpa pengakuan mangsa, siasatan di bawah Seksyen 377 (persetubuhan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan.

Jumaat lepas, sebanyak 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan dalam serbuan itu yang turut melibatkan rampasan kondom dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top