Kerajaan Terengganu salur RM3,000 kepada keluarga penuntut UPSI

Kerajaan Terengganu salur RM3,000 kepada keluarga penuntut UPSI

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kewangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 15 keluarga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak, Isnin lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM1,000 sudah diberikan kepada keluarga mangsa baru-baru ini.

Beliau berkata, bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 juga akan disalurkan kepada 33 mangsa yang cedera selepas terbabit dalam kemalangan sama.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini bersetuju memberikan sumbangan kepada semua mangsa yang terbabit sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga yang ditimpa musibah.

“Kerajaan negeri melahirkan rasa dukacita yang amat mendalamterhadap tragedi kemalangan bas yang melibatkan pelajar-pelajar UPSI di jalan raya Timur-Barat, Gerik, Perak.

“Kejadian yang meragut 15 nyawa serta mencederakan ramai pelajar lain amat menyentuh hati seluruh rakyat khususnya di Terengganu.

“Pihak kerajaan negeri sangat terkesan dengan tragedi ini dan komited untuk membantu sebaik mungkin dan memohon seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat dan semoga keluarga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top