Kerajaan Terengganu tanggung kos pengebumian pelajar UPSI

Kerajaan Terengganu tanggung kos pengebumian pelajar UPSI

zatuliffah@hmetro.com.my

Besut: Kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos pengebumian semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan tragis di Jalan Gerik-Jeli berdekatan Tasik Banding, Perak pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim berkata, ia termasuk urusan pengurusan jenazah dan proses pengebumian, pengangkutan jenazah dari lokasi kejadian ke kampung halaman masing-masing serta sokongan logistik kepada keluarga mangsa yang berada di hospital atau di lokasi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menggerakkan pasukan sokongan psikososial bagi membantu ahli keluarga mangsa termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan segera yang diperlukan oleh waris sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat pagi tadi.

“Sesungguhnya, kejadian ini adalah kehilangan besar bukan sahaja buat keluarga, bahkan kepada negeri Terengganu yang selama ini amat berbangga dengan semangat anak-anak muda dalam menuntut ilmu.

“Kami mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan keluarga mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Kemalangan tragis itu dilaporkan berlaku awal pagi tadi membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI untuk pulang ke kampus seusai cuti perayaan Aidiladha.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek teknikal dan faktor kecuaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top