Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjuangan menentang rasuah adalah mutlak dan menjadi keutamaan dalam usaha memulihkan integriti negara serta membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran.
Jelas beliau, langkah tersebut juga penting bagi melindungi kepentingan awam dan memastikan tadbir urus negara dijalankan secara telus dan berakauntabiliti.
Menentang rasuah
“Perjuangan kita menentang rasuah adalah mutlak dan penting untuk memulihkan integriti, melindungi kepentingan awam, dan membina semula kepercayaan rakyat,” katanya ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 (International Conference On Governance And Integrity 2025) di sini, semalam.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan komited untuk memastikan pertumbuhan inklusif dan lestari yang dipacu oleh tadbir urus baik serta ekonomi yang dinamik untuk semua pihak.
Malah, beliau turut menekankan bahawa pihaknya menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033 menerusi pelaksanaan Strategi Anti-Rasuah Nasional (NACS).
Artikel lain: Tiada lagi pemimpin lebih layak berbanding Anwar yang berjaya pulihkan ekonomi – Taufiq
Menentang rasuah
“Malaysia juga komited untuk mencapai tahap integriti yang lebih tinggi, menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 melalui Strategi Anti-Rasuah Nasional,” katanya lagi.
Sebagai Presiden Perhimpunan International Anti-Corruption Academy (IACA) buat kali pertama, Malaysia tekad memimpin dengan teladan dalam memperkukuh tadbir urus serta usaha membanteras rasuah di peringkat global.
Beliau turut mengakui bahawa usaha membanteras rasuah bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila melibatkan golongan elit yang berkuasa, namun menyifatkan ia sebagai tanggungjawab bersama.
“Perjuangan menentang rasuah bukan mudah lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan elit berkuasa, namun ia adalah tanggungjawab bersama yang menuntut keberanian, kesatuan, dan pendirian tegas demi keadilan dan ketelusan,” katanya.
Persidangan antarabangsa tersebut menghimpunkan pemimpin, pakar tadbir urus dan wakil negara-negara ASEAN untuk berkongsi pendekatan terbaik dalam memperkukuh integriti serta memperkasa agenda anti-rasuah serantau.
Sumber: Instagram @Anwar Ibrahim