redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus memelihara keistimewaan Bangunan Sultan Abdul Samad di sini bagi memastikan terus menjadi destinasi kunjungan warga kota dan pelancong bersama seisi keluarga.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, usaha itu akan diperkasakan dengan penganjuran lebih banyak program di bangunan ikonik berkenaan.
Beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan memastikan warga kota khususnya mempunyai tempat untuk berekreasi.
“Walaupun program ini (berbuka puasa di Dataran Merdeka) sudah dibuat selama 14 tahun, kali ini agak unik kerana kerajaan sudah menaik taraf Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi tular dan trending di media sosial terutama pada waktu malam.
“Hasrat kita adalah memastikan warga kota ada tempat berekreasi dan kita akan menganjurkan lebih banyak program di sini yang sesuai untuk seisi keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Iftar Ramadan dan Malam 7 Likur di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Rafiq Razali Ketua Pegawai Inovasi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kandungan dan Rangkaian Televisyen MPB, Amir Rashidi Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazir Noran.
Berhubung kebersihan di Bangunan Sultan Abdul Samad dan sekitar ibu kota, Hannah meminta orang ramai bersatu dalam menjaga kebersihan di ibu kota.
Katanya, usaha bersama itu penting seiring penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat diperkenalkan kerajaan bermula 1 Januari lalu bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam.
“Kena minta kerjasama semua tolong buang sampah terutama selepas makan.
“Undang-undang sudah dipinda, siapa ditangkap akan dikenakan hukuman khidmat kerja komuniti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




