Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan akan terus memperkasakan pertahanan di Sabah walaupun negeri itu kini dalam keadaan selamat.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook, beliau memaklumkan perhatian serius diberikan dalam usaha menangani sebarang bentuk ancaman di wilayah itu memandangkan risiko ancaman lebih ketara kerana kedudukan geografinya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled meminta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memainkan peranan sebagai anggota masyarakat untuk mendukung pasukan keselamatan itu bagi menjayakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.
Terdahulu, semasa mengadakan lawatan kerja di Tawau, beliau telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia.
“Mewakili negara, saya menzahirkan rasa terima kasih kepada para veteran ATM atas keperwiraan dan pengorbanan demi keamanan tanah air.
“Keamanan yang dinikmati tidak mungkin dirasai tanpa jasa mereka,” katanya.
Mohamed Khaled berkata sebagai rakyat, semua orang perlu menghayati sejarah perjuangan mereka dan mengambil iktibar sewajarnya demi masa depan negara yang lebih baik.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus mengangkat agenda kebajikan veteran ATM sebagai penghargaan atas jasa serta sumbangan mereka.
Mohamed Khaled berkata perkara ini dapat dilihat apabila setiap tahun peruntukan bagi hal ehwal veteran ATM meningkat dengan ketara.
Beliau juga berharap agar perjuangan para veteran ATM akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina Malaysia yang lebih kuat dan menjadi pejuang masa depan yang sentiasa bersedia membela tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd