Kerajaan tidak bercadang melaksanakan Caj Kesesakan setakat ini-Loke

Kerajaan tidak bercadang melaksanakan Caj Kesesakan setakat ini-Loke

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur ke atas kenderaan persendirian buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya sudah membincangkan perkara itu secara mendalam, dan mengambil maklum pandangan kementerian untuk memberi fokus kepada peningkatan mutu pengangkutan awam terlebih dahulu.

“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dan belum bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Loke menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu jika kementerian akan mempertimbangkan pelaksanaan cukai caj kesesakan memandangkan isu sambungan ‘First Mile’ dan ‘Last Mile’ sudah diselesaikan melalui perkhidmatan van transit atas permintaan.

Beliau berkata, kajian pelaksanaan caj itu merangkumi mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam sedang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

MOT juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang, antara lain turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk di negeri.

“Ini kerana, negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan selepas mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top