Kerajaan wujud aplikasi pemesejan segera elak ancaman bocor maklumat

Kerajaan wujud aplikasi pemesejan segera elak ancaman bocor maklumat

KOMUNIKASI berkesan amat penting dalam era pendigitalan masa kini terutama melibatkan individu yang perlu bekerja secara norma baharu dan memerlukan medium komunikasi yang pantas serta selamat. 

Walau bagaimanapun, penggunaan aplikasi pemesejan luaran dan percuma bagi tujuan rasmi dan peribadi mampu mendedahkan individu terutama penjawat awam kepada ancaman keselamatan maklumat. 

Menyedari kepentingan dan keperluan komunikasi masa nyata dalam persekitaran yang selamat, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri telah membangunkan aplikasi pemesejan segera Kerajaan dikenali sebagai GovChat. 

Aplikasi ini dibangunkan sebagai medium pemesejan penjawat awam yang pantas, eksklusif dan selamat melalui kepakaran dalaman yang mengguna pakai teknologi sumber terbuka.

Pembangunan GovChat juga merupakan usaha awal Kerajaan dalam menghasilkan produk aplikasi pemesejan segera dan media sosial tempatan seperti aplikasi yang dibangunkan oleh negara luar seperti WeChat oleh China, KakaoTalk oleh Korea Selatan, dan BiP oleh Turki. 

Kerajaan wujud aplikasi pemesejan segera elak ancaman bocor maklumat

Menurut Ketua Pengarah MAMPU Datuk Haji Rodzi bin Md Saad, pembangunan aplikasi GovChat adalah tepat pada masanya dimana Kerajaan amat memerlukan satu aplikasi pemesejan segera yang eksklusif bagi memastikan maklumat komunikasi kerajaan berada dalam persekitaran selamat dan tidak terdedah kepada eksploitasi pihak luar. 

“Pembangunan aplikasi ini turut selari dengan Arahan Keselamatan (Pindaan 2017) yang menekankan penjawat awam perlu sentiasa melindungi, menjaga kerahsiaan dokumen dan maklumat rahsia rasmi kerajaan serta tidak menggunakan medium media sosial umum untuk menghantar dokumen atau maklumat rahsia rasmi Kerajaan,” katanya. 

Aspirasi GovChat sokong inisiatif DIGITAL

Aplikasi GovChat dibangunkan seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan merupakan inisiatif di bawah Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021 – 2025. 

Pelan Strategik Sektor Awam ini menekankan penerimaan teknologi baharu bagi memacu transformasi digital sektor awam dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan.  

Tambah Rodzi, perubahan ketara dapat dilihat menerusi trend penggunaan aplikasi pemesejan segera berbanding emel sebagai medium komunikasi bagi melaksanakan perbincangan, memberi arahan dan membuat keputusan dalam urusan rasmi kerja dalam kalangan penjawat awam. 

Oleh itu, kewujudan GovChat bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah dapat menjamin keselamatan maklumat komunikasi kerajaan melalui penyimpanan data komunikasi dalam persekitaran selamat di Pusat Data Sektor Awam (PDSA). 

Pelaksanaan dan penggunaan GovChat akan diperluas secara berperingkat kepada agensi-agensi sektor awam dan akan dipertingkatkan dengan fungsi tambahan secara berterusan yang berpotensi sebagai platform pasaran digital yang mampu menghubungkan sektor bisnes dan pelanggan.

GovChat jamin keselamatan komunikasi 

Aplikasi GovChat mudah dipelajari secara kendiri yang membolehkan penjawat awam berkomunikasi secara peribadi atau berkumpulan melalui perkongsian mesej berbentuk teks, dokumen, imej, audio dan video dalam persekitaran yang selamat. 

Aplikasi ini mempunyai fungsi panggilan audio dan video serta ciri-ciri tambahan seperti kalendar dan chatbots yang mampu menjadikan komunikasi antara penjawat awam lebih efektif dan berkesan. 

Perbualan melalui  aplikasi GovChat pula menggunakan kaedah End To End Encryption (E2EE) yang diiktiraf oleh Senarai Algoritma Kriptografi Negara (MySeal).

Selain itu, integriti dan kesahihan fail-fail yang dihebahkan melalui aplikasi GovChat adalah lebih terjamin dengan penggunaan fungsi Watermarking.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top