Kerana dialah saya selalu tengok drama Melayu – Andy Teh

Kerana dialah saya selalu tengok drama Melayu – Andy Teh

KUALA LUMPUR: Pelakon, Andy Teh, 41, memaklumkan di awal pembabitan dalam dunia lakonan, dia pernah dimarahi pengarah kerana pelat berbahasa Melayu.

Namun, disebabkan pengalaman itu dia berusaha memperbaiki pertuturannya sehingga menguasai bahasa Melayu sepenuhnya.

“Saya ditegur pengarah, dari permulaan sampai penghujung drama tersebut kerana ‘pelat’ berbahasa Melayu. Jika mengenangkan teguran itu, mungkin hari ini saya tidak bekerja sebagai pelakon.

“Memang saya akui yang pada masa itu, saya tidak fasih berbahasa Melayu dan kedengaran kekok bertutur dalam bahasa itu.

“Tapi saya ingin berterima kasih kepada penolong pengarah drama tersebut iaitu Iqbal kerana dialah saya selalu tengok drama Melayu. Bukan nak tengok sangat pun, tapi nak belajar cara pertuturannya.

“Dengan cara itu saya latih diri. Dari saat itu pertuturan saya dalam bahasa Melayu semakin lancar sampai sekarang,” katanya.

Ditanya sama ada pernah berputus asa dalam dunia lakonan, Andy memberitahu dia bukan jenis manusia yang mudah mengalah, sebaliknya membuktikan yang dia boleh melakukan perkara tersebut.

“Mungkin saya miliki mentaliti yang agak positif, jadi saya mencabar diri sendiri untuk melakukan perkara yang sukar.

“Saya seorang manusia yang ingin membuktikan kepada orang lain yang saya boleh melakukan sesuatu perkara yang mustahil. Sebab itu saya akan berterima kasih kepada orang yang menjadi punca saya berbuat demikian,” kongsinya.

 

Scroll to Top