Kerana kamu ibu mentuaku..

Kerana kamu ibu mentuaku..

Beijing: Seorang wanita dari kawasan tengah China mendapat perhatian ramai di media sosial selepas mengajak bekas ibu mentuanya tinggal bersamanya susulan kematian bekas suami.

Lin, dari wilayah Henan, baru-baru ini menaiki penerbangan sejauh lebih 1,000 kilometer ke wilayah Guangdong di selatan China untuk membawa bekas ibu mentuanya tinggal bersamanya, walaupun mereka sudah bercerai 12 tahun lalu, lapor South China Morning Post (SCMP).

Lin membuat keputusan itu selepas bekas bapa mentuanya meninggal dunia akibat penyakit pada 2024, manakala bekas suaminya meninggal dunia tahun lalu.

Bekas ibu mentua Lin, yang masih dipanggilnya sebagai ‘ibu’, mempunyai lima orang anak yang semuanya bersedia untuk menjaga dan membawanya tinggal bersama mereka.

Namun, wanita warga emas itu lebih memilih untuk terus tinggal di rumah lamanya di kampung, tempat dia tinggal bersama suaminya, bekas suami Lin dan dua anak Lin bersamanya selama lebih sedekad.

Bagaimanapun, dua anak Lin kini tinggal bersamanya dan suami sekarang di Henan.

Keadaan itu bermakna wanita warga emas berkenaan akan tinggal sendirian, sesuatu yang membimbangkan Lin.

Pada mulanya, wanita itu menolak tawaran Lin kerana bimbang akan menjadi beban. Namun, Lin tetap berkeras mahu membawanya tinggal bersama.

Lin berkata, dia berkahwin dengan bekas suaminya ketika berusia 20 tahun dan mereka bercerai lima tahun kemudian. Sepanjang 17 tahun lalu, dia terus memanggil bekas ibu mentuanya sebagai ‘ibu’.

Menurut Lin, bekas mentuanya sentiasa melayannya dengan baik dan sering memujinya kerana berjaya membesarkan anak-anak mereka dengan baik.

Selepas perceraian, dua anak Lin terus tinggal bersama bekas suaminya selama sedekad. Bekas ibu mentuanya tidak pernah merungut, malah sering menghubungi Lin untuk memastikan dia menjaga dirinya dengan baik.

Mengetahui Lin menjalankan perniagaan makanan yang dimasak secara reneh di Henan, wanita warga emas itu turut berpesan supaya Lin tidak “terlalu kuat bekerja”.

Lin berkata “Perceraian tidak bermakna terputus hubungan. Saya perlu membalas kebaikan yang telah saya terima”

Lin turut berterima kasih kepada suaminya sekarang kerana memahami keputusannya.

Katanya, ‘ibu’ yang kini berusia 70-an itu pada mulanya bimbang akan menjadi beban, namun akhirnya bersetuju untuk berpindah kerana mahu tinggal bersama cucu-cucunya.

Lin berkata dia mengalu-alukan ‘ibunya’ untuk tinggal bersama sama ada buat sementara waktu bagi mengubah suasana atau menetap secara kekal di Henan.

Ibu Lin sendiri turut menyokong keputusan anaknya.

“Seluruh keluarga mereka melayan anak saya dengan baik, malah kadangkala lebih baik daripada saya. Saya gembira melihat dia tinggal bersama Lin dan dua cucunya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top