am@hmetro.com.my
Kluang: Pilu hati seorang lelaki apabila kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata selepas terbabit dalam nahas di Kilometer 65, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Renggam di sini, petang semalam.
Norazli Abdullah, 49, kehilangan isteri, Rulijah Ahmad, 51, dan anak lelaki Salam Norazli, 15, selepas kereta dinaiki kemalangan dengan van pekerja dan pacuan empat roda (4WD).
Lebih menyedihkan, nahas berlaku tidak jauh dari rumah mereka menyebabkan dua beranak itu meninggal di lokasi akibat cedera parah.
Menurut Norazli, sebelum kejadian, isterinya bersama dua orang anaknya lelaki termasuk arwah Salam ke Simpang Renggam untuk menggunting rambut dengan menaiki kereta Produa Kancil.
“Saya menerima panggilan daripada adik ipar mengatakan isteri dan dua anak terbabit dalam kemalangan. Tanpa membuang masa, saya terus bergegas ke hospital bagi mendapat perkembangan mengenai mereka.
“Namun, takdir penentu segala-galanya, saya diberitakan isteri dan anak sudah meninggal dunia. Seorang lagi anak lelaki (Osama, 9) cedera dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia juga terkilan disebabkan kecuaian orang lain, dia kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata.
“Memang tidak disangka, kerana kecuaian orang lain, isteri dan anak pertama saya menjadi mangsa.
“Proses bedah siasat ke atas isteri dan anak dilakukan pagi tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinggir sebaik urusan selesai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku pada jam 5.30 petang itu ketika mangsa dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Kampung Bukit Kenangan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu Rulijah berhenti kerana mahu memasuki simpang kanan, datang sebuah van dipandu lelaki berusia 53 tahun dari arah sama merempuh belakang keretanya.
“Akibatnya, kereta terbabit memasuki laluan bertentangan dan kebetulan datang sebuah 4WD dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuhnya.
“Pemandu dan penumpang hadapan Perodua Kancil cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang, cedera di kepala dan kaki.
“Sementara pemandu 4WD lelaki berusia 62 tahun cedera ringan dan menerima rawatan di hospital sama dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




