am@hmetro.com.my
Gua Musang: Aktiviti mengorek dan mengambil pasir Sungai Nenggiri di Kampung Bertam Lama, di sini, menimbulkan kebimbangan penduduk susulan kejadian peningkatan kes hakisan tebing sungai.
Penduduk juga mendakwa, aktiviti mengepam pasir itu yang beroperasi sejak lebih enam bulan lalu menyebabkan jalan di kawasan perkampungan itu rosak teruk dan membahayakan pengguna jalan raya.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bertam Lama, Mohd Azhri Hasan, 57, berkata, lebih 1,000 penduduk di kampung itu tidak pernah dimaklumkan berhubung pembukaan lokasi mengepam dan mengorek pasir itu.
Katanya, aktiviti itu menyebabkan jalan di kawasan kampung berkenaan kian rosak akibat dilalui kenderaan berat yang mengangkut pasir.
“Kawasan pam pasir itu terletak tidak sampai 500 meter daripada tanah perkuburan Islam di tepi Sungai Nenggiri. Kami bimbang sekiranya operasi pam pasir diteruskan, ia akan menyebabkan hakisan di tanah perkuburan itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bertam, di sini, semalam.
Penduduk, Mohd Halim Dolmat , 53, berkata, tindakan kenderaan berat yang berulang alik setiap hari untuk memunggah pasir menyebabkan jalan yang digunakan penduduk rosak teruk.
“Sudah kerap kali berlaku kemalangan dikalangan penduduk kampung susulan keadaan jalan yang rosak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau dimaklumkan berhubung kerisauan dan kebimbangan penduduk di kampung itu.
“Saya sendiri sudah turun padang dan meninjau lokasi pam pasir itu yang terletak di Jalan Kampung Bertam Lama menuju ke Kampung Jelekang di sini.
“Saya menggesa pihak berwajib dan bertanggungjawab untuk menilai kesan terhadap penduduk dan alam sekitar sebelum memberi kebenaran atau kelulusan bagi sebarang aktiviti pembukaan pam pasir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri,’ katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




