am@hmetro.com.my
Dungun: “Saya sempat rakam video beruang itu dan apabila saya keluar rumah, didapati seekor daripada beruang terbabit sedang cuba membuka sebuah keranda yang disiapkan bapa mentua,” kata Rafiuddin Mamat, 36.
Dia menceritakan detik dua ekor beruang berkeliaran di Kampung Rantau Abang, di sini dan menceroboh kawasan rumah keluarganya dipercayai mencari madu lebah di dalam keranda, kira-kira jam 3 petang, 27 Mac lalu.
Rafiuddin berkata, selepas merakam video beruang itu, dia sempat menyergah dengan kuat haiwan berkenaan yang kemudian melarikan diri ke dalam semak di belakang rumah.
Menurutnya, dia pelik dengan perbuatan beruang itu yang cuba membuka keranda dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terdapat sarang lebah yang penuh madu di dalamnya.
“Saya pelik macam mana beruang itu tahu ada sarang lebah penuh madu (dalam keranda), sedangkan saya dan bapa mentua tidak pernah terfikir lebah boleh bersarang di dalam keranda itu.
“Saya percaya kedua-dua beruang itu pasangan ibu dan anak. Biarpun nampak jinak, saya tetap bimbang kerana beruang itu boleh membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak,” katanya tinggal bersama bapa mentuanya yang juga pembuat keranda.
Bapa mentua Rafiuddin, Atan Mamat Nor berkata, penduduk kampung kembali bimbang dengan kemunculan dua beruang terbabit sejak minggu lepas.
“Sebelum ini, dua ekor berjaya ditangkap selepas masuk perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Oktober tahun lepas dan Januari lalu.
“Kini muncul lagi dua ekor dan kali ini, rumah saya sendiri menjadi sasaran,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kampung itu berkata, beruang terbabit menceroboh kawasan rumahnya selepas merosakkan pagar belakang dan hanya menyedarinya selepas mendapati tong sampah berselerak, makanan kucing serta empat botol minyak masak terpakai yang diletak di luar rumah juga hilang.
Beliau juga sudah melapor kejadian terbaharu itu kepada pihak Perhilitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




