Kerangka 'Sumud Protocol' perkukuh gerakan pembebasan Palestin

Kerangka 'Sumud Protocol' perkukuh gerakan pembebasan Palestin

Bangi: Kerangka “Sumud Protocol” diharapkan dapat menarik minat rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk bergabung tenaga memperkukuh gerakan pembebasan Palestin, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Beliau berkata kerangka itu dibuat bagi menterjemahkan solidariti terhadap Palestin kepada tindakan lebih tersusun menerusi penglibatan pelbagai pihak termasuk media, mahasiswa dan ahli politik merentas parti.

“Jadi, perkara yang dilakukan pada hari ini ialah satu kemuncak kepada susun atur baharu dengan 250 delegasi dari 43 negara hadir berkampung di Kuala Lumpur dan kita menjadi tuan rumah untuk melihat bagaimana tindakan ini … gelombang ini dapat diletakkan dalam satu kerangka yang kita namakan sebagai ‘Sumud Protocol’.

“(Dengan) kerangka ini, kumpulan media menjadi pejuang dengan cara media. Kumpulan mahasiswa dapat dikuasakan dengan kekuatan yang mereka ada. Begitu juga dengan seluruh ahli politik merentas parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena dengan Kongres Sumud Global 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penaung Gerakan Sumud Nusantara merasmikan majlis berkenaan sebelum melancarkan kerangka Sumud Protocol.

“Ini suatu titik yang penting kerana kita menerima mandat daripada Perdana Menteri untuk melihat bagaimana Malaysia menjadi titik susah senang bagi gerakan pembebasan Palestin,” kata Sani Araby.

Beliau berkata pelancaran kerangka itu merupakan kesinambungan kepada gerakan Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa tentang penderitaan rakyat Palestin.

“Insya-Allah ini ialah agenda nasional yang saya kira perlu disambut (disokong) oleh semua kementerian, semua ahli Parlimen serta semua pihak daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Sumud Protocol merupakan hala tuju bersama yang dirangka bagi menyelaraskan usaha gerakan global ke arah pembebasan Palestin melalui tindakan kolektif yang berterusan, merangkumi pelbagai platform advokasi, politik, kemanusiaan dan solidariti antarabangsa.

Protokol itu menggariskan lima jalur gerakan utama, iaitu motion picture, tindakan ahli Parlimen, gerakan masyarakat sivil dan belia, flotila ke Gaza serta penganjuran Kongres Sumud Global bagi menyelaras usaha dalam satu gerakan.

Kongres berkenaan turut memeterai Resolusi Asas Gerakan Global Sumud yang menetapkan lima teras strategik, iaitu akauntabiliti dan keadilan; kebebasan serta hak menentukan nasib sendiri rakyat Palestin; solidariti kemanusiaan dan ketahanan komuniti; kesedaran awam, pendidikan dan advokasi; serta solidariti global dan kerjasama strategik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top