Kerbau korban naik minyak: Seorang maut, seorang lagi patah rusuk

Kerbau korban naik minyak: Seorang maut, seorang lagi patah rusuk

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi mengalami patah tulang rusuk kiri dalam dua kejadian berasingan akibat ditanduk kerbau ketika menjalankan ibadah korban di kawasan Ulu Tiram di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pertama berlaku pada 10 pagi di Kampung Tenang membabitkan mangsa lelaki tempatan berusia 45 tahun.

“Mangsa cedera selepas ditanduk kerbau ketika proses ibadah korban dijalankan dan dihantar je Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 malam tadi.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan saluran darah (vaskular) pada kaki kiri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, kejadian kedua berlaku kira-kira 2 petang di Batu 19, Kampung Sungai Tiram dengan lelaki tempatan berusia 45 tahun cedera selepas ditanduk kerbau yang tiba-tiba bertindak liar.

Katanya, mangsa difahamkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Katanya, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian kedua.

Menurutnya, semua insiden sudah dimaklumkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan dan orang ramai dinasihat tidak menyebar maklumat tidak sahih berhubung kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top