Dhaka: Seekor kerbau albino yang jarang ditemukan digelar ‘Donald Trump’ kerana memiliki bulu perang keemasan, terselamat daripada menjadi haiwan korban sempena Aidiladha selepas campur tangan saat akhir oleh pihak kerajaan, kata pegawai Kementerian Dalam Negeri pada Rabu.
Haiwan seberat hampir 700 kilogram itu sebenarnya sudah pun dijual untuk ibadah korban sebelum pihak berkuasa masuk campur atas faktor keselamatan, susulan lonjakan perhatian luar biasa daripada orang ramai menjelang perayaan pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri, Salahuddin Ahmed, mengarahkan supaya kerbau itu dikecualikan daripada disembelih, wang pembeli dipulangkan semula, dan haiwan berkenaan dipindahkan ke zoo negara di Dhaka.
“Pada saat-saat akhir, keputusan diambil untuk menyelamatkan kerbau itu daripada dikorbankan atas faktor keselamatan dan tahap minat yang luar biasa daripada orang awam,” kata seorang pegawai kementerian.
Apa yang bermula sebagai pembelian biasa sempena Aidiladha bertukar menjadi tumpuan seluruh negara selepas rakaman videonya tular.
Orang ramai mula membanjiri ladang berkenaan, malah ada pengunjung yang sanggup mengembara dari jauh semata-mata untuk melihat jambul perang keemasan serta sifatnya yang jinak.
Pemilik ladang, Ziauddin Mridha, berkata nama gelaran itu diberikan oleh adik lelakinya yang menyedari kemiripan rupa haiwan tersebut dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.
Mridha berkata, kerbau itu sangat jinak dan memerlukan penjagaan yang rapi, termasuk perlu kerap diberi makan dan dimandikan secara berkala.
Kerbau albino adalah sangat nadir (rare) di Bangladesh memandangkan kebanyakan ternakan di negara itu berwarna gelap, sekali gus menjadikannya tumpuan utama pada kemuncak musim jualan ternakan Aidiladha, walaupun nama gelaran unik itulah yang berkemungkinan besar menyelamatkan nyawanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




