Kereta api menuju ke Bangkok tergelincir dari landasan

Kereta api menuju ke Bangkok tergelincir dari landasan

Bangkok: Sebuah kereta api yang menuju ke Bangkok tergelincir di daerah Kui Buri, wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand, semalam, mengakibatkan beberapa penumpang cedera, lapor The Nation.

Insiden itu berlaku kira-kira 5 pagi pada 9 Ogos berhampiran stesen kereta api Kui Buri.

Tiga gerabak tergelincir dari landasan sekali gus mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan penumpang.

Sejurus menerima laporan, pasukan penyelamat dan agensi berkaitan bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa yang cedera.

Pemeriksaan awal mengesahkan beberapa mangsa cedera, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan.

Setakat ini, pihak berkuasa hanya berjaya mengakses satu gerabak, manakala usaha memasuki dua lagi gerabak giat dijalankan kerana dikhuatiri lebih ramai penumpang mungkin terperangkap.

Punca sebenar insiden itu masih dalam siasatan terperinci oleh pakar di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan Kereta Api Negara Thailand, pasukan penyelamat membantu dan memindahkan mangsa yang cedera ke hospital.

Penumpang lain dipindahkan menggunakan pengangkutan darat, manakala gerabak yang tidak terjejas disambung semula bagi meneruskan perjalanan ke stesen terminal.

Perkhidmatan kereta api laluan selatan dilaporkan beroperasi seperti biasa, namun mengalami sedikit kelewatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top