Kereta bekas ADUN hilang kawalan, rempuh rumah jiran 

BALIK PULAU: Sebuah keluarga yang tinggal di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini dikejutkan dengan rempuhan kuat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bahagian bawah kediaman mereka hari ini. 

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku semasa penghuni kediaman berkenaan berada di dalam rumah jenis separa kayu dua tingkat. 

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan milik bekas ADUN berusia 60-an itu diparkir sementara di hadapan rumah jiran berkenaan dalam keadaan enjin dihidupkan. 

Jarak antara rumah ADUN dan jiran itu terletak hanya kira-kira 10 meter. 

“Bekas ADUN tersebut semasa itu dikatakan mahu menukar gear ‘natural’ ke ‘parking’ semasa mahu menurunkan anaknya sebaik sahaja pulang dari Balik Pulau. 

“Semasa mahu menukar gear, dia tertekan pedal minyak lalu menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan dan merempuh bahagian bawah kediaman rumah jirannya itu. 

“Mujur tiada berlaku sebarang kecederaan melibatkan pemandu mahupun penghuni di dalam kediaman berkenaan semasa kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Tambahnya, kedua-dua pihak bagaimanapun mengambil pendekatan untuk membaiki bahagian kerosakan yang dialami. – UTUSAN