hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pejalan kaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong di sini, hari ini.
Kejadian pada 11.45 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah PPR Batu Muda hilang kawalan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati insiden turut membabitkan sebuah lagi kereta iaitu Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun dari arah Batu Kentomen.
“Siasatan mendapati kejadian bermula apabila kereta Nissan Sylphy hilang kawalan dan melanggar hadapan sebelah kanan Toyota Camry yang datang dari arah Batu Kentomen.
“Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi.
“Pemandu warga Bangladesh itu cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, manakala pejalan kaki yang identitinya masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai serta belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan JSPT Kuala Lumpur.
“Siasatan lanjut mendapati kereta yang dipandu lelaki warga asing terbabit bukan miliknya dan polis sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lelaki warga Bangladesh itu ditahan untuk siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd