Kereta dipecah, Teresa Kok kehilangan RM2,000 dan barang peribadi

Kereta dipecah, Teresa Kok kehilangan RM2,000 dan barang peribadi

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kehilangan wang tunai RM2,000 dan barangan peribadi lain selepas cermin keretanya dipecah di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, semalam.

Teresa berkata, kejadian berlaku ketika dia berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada jam 6.15 petang, sejurus selepas hujan lebat berhenti.

“Apabila saya kembali ke kereta pada jam 7 petang, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan. Beg tangan saya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk juga hilang.

“Saya hilang kira-kira RM2,000 tunai dan wang angpau, selain kehilangan kad pengenalan serta pelbagai kad kredit dan dokumen penting yang lain.

“Dengan hati yang kecewa, saya terus membuat laporan di Balai Polis TTDI. Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, selepas laporan awal dibuat, pegawai penyiasat (IO) datang untuk mengambil kenyataan.

“Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan saya. Saya hanya meninggalkan balai polis kira-kira jam 9.30 malam.

“Saya amat berterima kasih atas kerjasama dan bantuan yang diberikan terhadap aduan saya,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan kes pecah kereta dan kecurian barang berharga kerap berlaku di kawasan berkenaan, beliau amat berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara demi memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan itu.

“Saya mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Usaha mengesan suspek giat dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah dengan bantuan JSJ negeri.

“Setakat ini, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top