ATLET karate negara yang berjaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menerima sebuah kereta elektrik (EV) sebagai ganjaran istimewa daripada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ganjaran berkenaan diharap menjadi pembakar semangat buat skuad karate negara untuk memburu sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya melihat Sukan Asia sebagai pentas terbesar buat karate dan sumbangan pingat emas daripada sukan itu amat penting dalam membantu kontinjen negara mencapai sasaran keseluruhan.
“Ganjaran ini adalah satu kelebihan untuk kontinjen karate sendiri. Saya mengharapkan ganjaran ini menjadi satu motivasi besar untuk skuad karate kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Simbolik Penghargaan dan Pengumuman Ganjaran ‘Emas Untuk Negara, Kereta Untuk Juara’ di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil pada Khamis.
Nur Azmi memberitahu, kereta berkenaan ialah Proton e.MAS 5 bernilai lebih RM60,000, manakala model serta warna kenderaan akan diserahkan kepada pilihan atlet yang berjaya meraih emas.
Tambahnya, ganjaran itu terbuka kepada mana-mana atlet tanpa mengira kategori, termasuk sekiranya emas disumbangkan menerusi acara berpasukan.
“Kalau acara berpasukan, setiap seorang yang menang emas akan dapat kereta,” katanya.
Beliau berkata, MAKAF akan menghantar lapan atlet untuk menyertai tujuh kategori iaitu Kata dan Kumite, dengan acara Kata turut memberi kelebihan kerana melibatkan tiga atlet dalam satu pasukan.
Mengulas kemungkinan ganjaran tambahan berupa wang tunai, Nur Azmi memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu sambil menegaskan keutamaan skuad adalah mendapatkan pingat emas.
“Apa yang penting, pingat dulu. INSYA-ALLAH kita akan buat yang terbaik,” katanya.
Lebih menarik, Nur Azmi turut menyahut cabaran jurulatih yang menjanjikan ganjaran sekiranya skuad karate mampu membawa pulang lima emas, sekali gus membuka kemungkinan lebih banyak kereta disediakan untuk atlet serta jurulatih.
